YS2P3.0 memperolehi pengiktirafan Malaysia Book of Records kali ketiga

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
11 July 2023
Umum

6 Julai 2023, Kuantan –  Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan PKT Logistics Group Sdn. Bhd  berjaya memperolehi pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi “Most Online Judging in a Young Socialpreneurship Competition”. Pengiktirafan ini diumumkan pada malam ini sempena Majlis Perasmian Young Socialpreneur Programme (YS2P 3.0) Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran TVET Collaboration Hub yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, bertempat di Hotel Boutique Sri Manja, di sini.

Seramai 50 orang juri daripada 16 agensi/industri telah melaksanakan sesi penjurian Online Pitching pada 9 Mei lalu secara serentak di POLISAS sempena YS2P3.0 dengan penyertaan seramai 1116 peserta yang merangkumi 93 buah kumpulan daripada 25 Politeknik dan 40 Kolej Komunti seluruh Malaysia. Sesi penjurian ini adalah bagi mencari 50 kumpulan terbaik bagi menyertai sesi Boot Camp.

Sijil Malaysia Book of Records (MBR) ini telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Pemasaran MBR, Jwan Heah Yeow Hooi, kepada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JPPKK, Ts. Haji Muhamad Rumzi Mamat yang mewakili JPPKK dan Pengarah POLISAS, Hajah Norehan Silek, sambil disaksikan oleh Ahli
Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah serta Ketua  Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.

Pengiktirafan MBR yang diperolehi tahun ini adalah bagi kali ketiga selepas pengiktirafan MBR menerusi Himpunan Usahawan Muda Paling Ramai melalui penganjuran program YS2P pada tahun 2017 dan juga pengikitirafan MBR menerusi The Most Number of Participation in A Young Socialpreneurship Charity Programme pada program YS2P tahun 2018.

YS2P3.0 yang dianjurkan buat tahun ketiga ini menggabungkan tiga konsep utama iaitu keusahawanan, keusahawanan sosial dan tanggungjawab sosial kepada komuniti. Ia bertujuan untuk membangunkan program keusahawanan pelajar  dalam bentuk yang lebih berdaya saing sejajar dengan temanya iaitu “Entrepreneurship for Sustainable Lifestyle”. 

Pada malam ini juga turut diumumkan 10 kumpulan terbaik yang berjaya mara ke peringkat akhir YS2P3.0. Pengumuman dibuat oleh Ketua  Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd.,  Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio. Setiap kumpulan yang berjaya, diberikan suntikan modal bernilai RM1000 daripada PKT Logistics Group Sdn.Bhd. 10 kumpulan terbaik ini dinilai melalui sesi Boot Camp yang dijalankan selama tiga hari bermula pada 4 sehingga 6 Julai 2023 dengan penglibatan 50 kumpulan daripada Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.

10 Kumpulan terbaik yang berjaya mara ke peringkat akhir YS2P3.0 adalah:

PMU Chili House Ventures – Politeknik Mukah Sarawak

seedspsa – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Capt Empire Kifah – Politeknik Seberang Perai

Teratak Kasih – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah

Kunyit Enterprise – Kolej Komuniti Lahad Datu

Digital Maven – Kolej Komuniti Segamat

Magnifiq – Kolej Komuniti Bayan Baru

PoliKopi – Politeknik Muadzam Shah

Neocraft – Politeknik Metro Betong Sarawak

Jutawan Ilmu – Kolej Komuniti Kuala Langat

Pada hari yang sama turut diadakan POLISAS-Industry Engagement Day 2023 (PIED 2023) di tempat yang sama dengan beberapa pengisian iaitu Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strartegik (CoC) antara POLISAS dengan 17 pihak luar yang merangkumi agensi kerajaan dan swasta serta pihak industri dari dalam dan luar negeri Pahang.

Selain itu, turut diadakan taklimat dan penyampaian watikah pelantikan TVET Collaboration Hub (TCH) melibatkan 23 agensi kerajaan dan swasta serta industri yang bakal bekerjasama dengan Centre of Food Science & Technology (CFoST) POLISAS yang diiktiraf sebagai TCH dan merupakan satu-satunya hub di wilayah timur yang berperanan sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan bagi bidang teknologi makanan. TCH merupakan platform kolaborasi bersinergi perkongsian kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET lain beserta pihak berautoriti wilayah ekonomi dan industri.

PIED 2023 diakhiri dengan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri dan juga Mesyuarat TVET Collaboration Hub (TCH).


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti